Bantuan Kemanusiaan

Bantuan Kemanusiaan Semasa Banjir 2024

Pada tahun 2024, Khazanah Nasional Berhad melalui yayasannya, Yayasan Hasanah, memainkan peranan penting dalam menangani salah satu musim banjir monsun paling mencabar dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Ketika air naik di Kelantan, Terengganu dan Pahang, Hasanah segera menggerakkan bantuan kemanusiaan berjumlah lebih RM822,000 bagi menyalurkan sokongan kepada komuniti yang terjejas.

Bekerjasama rapat dengan agensi kebangsaan seperti NADMA, METMalaysia dan MATCH Foundation, pendekatan proaktif Hasanah terhadap kesiapsiagaan bencana telah terbukti penting. Sebagai ahli teras gabungan GLC & GLIC Demi Rakyat & Negara (GDRN), Hasanah menyumbang kepada Pelan Tindakan Awal Negara (Anticipatory Action Plan) yang menumpukan kepada sistem amaran awal, analisis risiko dan penyediaan bekalan bantuan lebih awal. Langkah-langkah ini telah mengukuhkan keupayaan tindak balas setempat dan mengurangkan impak bencana.

Hasanah bekerjasama dengan tujuh rakan kerjasama kemanusiaan di lapangan, menyampaikan bantuan penting kepada lebih 12,860 individu dan 1,010 keluarga. Usaha bantuan merangkumi pengagihan makanan sedia dimakan dan sedia dimasak, bekalan air minuman bersih, kit kebersihan, bantuan perubatan serta sokongan kepada kumpulan rentan termasuk warga emas, kanak-kanak dan pesakit. Di kawasan yang terputus bekalan elektrik, penjana kuasa dihantar untuk memulihkan sistem tenaga. 

Penekanan Hasanah terhadap solidariti dan tindakan kolektif turut merentasi sempadan negara. Sokongan antarabangsa seperti sumbangan SGD50,000 daripada Temasek Foundation telah memperluas capaian Hasanah kepada lebih banyak komuniti yang terkesan akibat banjir.

Wira Harian: Rakyat Malaysia yang Tampil Tika Krisis

Apabila banjir melanda, kemusnahan dan kekacauan pasti berlaku, namun bagi Rafiq dan pasukannya di Iltizam Relief Society, ia adalah satu panggilan untuk bertindak. Sebagai barisan hadapan kecemasan, Rafiq mengharungi air deras yang berbahaya demi membawa makanan, bantuan perubatan dan tempat perlindungan kepada keluarga yang terperangkap.

Perjalanan Rafiq menyerlahkan keperitan emosi dan cabaran fizikal yang jarang dilihat dalam usaha bantuan bencana, serta semangat sukarelawan yang tidak pernah goyah walaupun terpaksa mempertaruhkan segalanya demi menyelamatkan nyawa. Dalam saat krisis, rakyat Malaysia yang biasa-biasa inilah yang bangkit menjadi wira luar biasa.

ms_MYMalay