Teman: Menawarkan Teman Penjagaan Masyarakat Menua di Malaysia
Secara tradisi, gaya hidup berbilang generasi di Malaysia menjadikan usia emas seseorang dihabiskan bersama ahli keluarga, berpaksikan nilai kasih saying dan rasa tanggungjawab bersama. Hari ini, meskipun nilai itu masih wujud, realitinya telah berubah seiring dengan proses urbanisasi, saiz keluarga yang semakin kecil, atau penghijrahan ke luar negara.


Dengan 7.7% penduduk berusia 65 tahun ke atas, Malaysia kini dikategorikan sebagai masyarakat menua mengikut takrif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Di peringkat nasional, Laporan Tinjauan Ekonomi 2025 mengiktiraf peralihan demografi ini dan menggariskan pelan melangkaui aspek kesihatan dengan turut memberi tumpuan kepada aktiviti sosial dan pembelajaran sepanjang hayat untuk warga emas.
Rancangan Malaysia Ke-12 turut menyokong perkara ini dengan memberi penekanan kepada usaha meningkatkan profesion penjagaan, menggalakkan pemakanan sihat, dan memperkenalkan perundingan maya ke arah persekitaran yang lebih inklusif untuk warga emas, bukan sekadar menjalani kehidupan, tetapi juga menikmati kehidupan yang bermakna.
Menakrif Semula Penjagaan Warga Emas
Peningkatan populasi warga emas bermakna struktur penjagaan tradisional turut berubah. Bentuk sokongan baharu mula muncul untuk memenuhi keperluan warga emas tanpa menjejaskan maruah atau kebebasan mereka.
Teman MY Ventures PLT (Teman), penerima Dana Perusahaan Sosial Hasanah (HSEF), merupakan antara penyedia perkhidmatan yang menjawab keperluan ini. Platform ini menghubungkan pelanggan dengan teman penjagaan yang dikenali sebagai Temanion.
Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasasnya, Nurul Ezzati Mohamed Nasir menjelaskan bahawa idea perniagaan ini tercetus sewaktu pandemik. “Ramai warga emas tidak dapat berhubung dengan ahli keluarga disebabkan sekatan pergerakan. Pada masa yang sama, ramai yang kehilangan pekerjaan dan sedang mencari sumber pendapatan.” Daripada keperluan dua kelompok ini, maka lahirlah Teman.
Pendekatan ini selari dengan syarat kelayakan penerima Dana Perusahaan Sosial Hasanah (HSEF). Menurut Josselyn Tan Yong Qi dari pasukan Perusahaan Sosial Hasanah, penerima dipilih berdasarkan misi sosial dan daya tahan model perniagaan. “Kami ingin tahu bagaimana model perniagaan mereka mencipta impak, pada masa sama mampu menjana keuntungan. Matlamatnya adalah untuk kekal mampan dan memberi manfaat kepada masyarakat.”
“Pembiayaan daripada Hasanah datang pada waktu yang tepat kerana kami kini menerima pertanyaan dari seluruh Malaysia. Kami merancang untuk menggunakan dana ini bagi memperkukuh bilangan Temanion,” kata Ezzati yang bercadang mengembangkan perkhidmatan yang kini beroperasi di Lembah Klang ke Ipoh dan Johor Bahru.
Teman menawarkan alternatif kepada penjagaan berasaskan institusi atau kebergantungan sepenuhnya kepada ahli keluarga. Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk menemani ke janji temu hospital, membantu urusan harian dan penjagaan di rumah. “Ini memastikan mereka selamat sampai ke rumah, selamat di kediaman sendiri, dan lebih penting, tidak menjalani gaya hidup pasif serta berupaya melakukan aktiviti harian secara aktif,” kata Ezzati.
Secara asasnya, Teman menawarkan kemungkinan untuk menua di tempat sendiri, meneruskan kehidupan di rumah, mengikut pilihan sendiri, dengan sokongan yang menghormati keupayaan dan kehendak individu.


Pembiayaan daripada Hasanah datang pada waktu yang tepat kerana kami kini menerima pertanyaan dari seluruh Malaysia. Kami merancang untuk menggunakan dana ini bagi memperkukuh bilangan Temanion.”
Nurul Ezzati Mohamed, CEO Teman MY Ventures PLT


Lebih Daripada Sekadar Penyedia Perkhidmatan
Sejak ditubuhkan, pangkalan data platform ini telah berkembang kepada 200 Temanion, 60 daripadanya aktif memberi perkhidmatan kepada lebih 500 pelanggan, termasuklah Afiq Hakimi bin Sengari. “Kriteria menjadi Temanion ialah kesabaran dan keikhlasan. Kemahiran boleh diajar tetapi dua sifat ini penting untuk menjalankan tugas dengan baik,” kata Ezzati, yang turut mengakui bahawa proses memadankan pelanggan dengan teman yang sesuai bukanlah mudah.
Inilah kekuatan pendekatan Teman yang berteraskan hubungan, dibentuk melalui perincian kecil, dan diperkukuh dengan konsistensi.
Kami bertemu Afiq sebelum sesi beliau bersama pasangan warga emas, Julia dan Shah. Hari beliau bermula dengan mengundur kereta ke dalam laman rumah, agar lebih mudah untuk mereka menaiki kenderaan. Setiap langkah dibuat dengan penuh perhatian. Hari itu tiada janji temu hospital, tetapi Afiq akan membawa Shah keluar makan tengah hari. Pada hari lain, beliau turut menghantar Julia membeli barangan dapur. Kebiasaannya, Afiq meluangkan dua hingga tiga jam setiap sesi, enam hari seminggu.
“Kami sangat bersyukur atas bantuan yang diterima. Ia satu pengalaman luar biasa kerana kami tidak sangka orang boleh datang ke rumah dan membantu dalam pelbagai cara,” kata Julia, yang mengalami kekangan pergerakan selepas menjalani pembedahan pinggul.
Afiq berkongsi bahawa dalam pekerjaan sebelum ini beliau banyak berinteraksi dengan golongan muda. “Kita perlu banyak bersabar kerana semuanya mengambil masa. Apabila sesuatu yang tidak dijangka berlaku, kita perlu mengawal emosi. Kita semua akan tua suatu hari nanti, saya selalu ingatkan diri bahawa layanan yang saya berikan hari ini mencerminkan layanan yang saya harap akan diterima di hari tua saya nanti.”

Dalam Jagaan yang Baik
Meskipun konsep ini pada awalnya asing, anak-anak Julia dan Shah meletakkan kepercayaan mereka kepada Teman ketika mereka benar-benar memerlukan penyelesaian. Bapa mereka yang menghidap dementia pernah hilang selama tujuh jam selepas keluar memandu sendirian. Nigel Shahnon Hime, yang menetap di Melbourne, menemui perkhidmatan ini melalui media sosial semasa beliau dan kakaknya di London sedang mencari bantuan penjagaan.
Tiga tahun kemudian, perkhidmatan Teman menjadi sangat penting buat mereka. Temanion Afiq dan Azeem kini menjadi wajah yang dikenali oleh bapa mereka, membawa rasa selesa dan rutin. Mereka berharap lebih ramai keluarga dalam situasi serupa dapat dibantu.
Bagi keluarga yang tinggal berjauhan, Teman menawarkan sesuatu yang sukar ditemui iaitu konsistensi, perhatian, dan ketenangan fikiran.
Selama ini, usia tua sering dikaitkan dengan beban, kehilangan dan kemerosotan. Namun bentuk sokongan baharu seperti ini sedang mengubah pendekatan kita terhadap penuaan, dengan lebih jujur, lebih berperikemanusiaan, dan lebih responsif terhadap keperluan sebenar insan.

Pasar Siti Khadijah: Tradisi Bertemu Revolusi Digital

Menjulang Warisan Emas: Kebangkitan Semula Telepuk di Terengganu

Wira Kesihatan Mental di PPR Batu Muda

Wira Harian: Rakyat Malaysia yang Tampil Tika Krisis

Merungkai Tembok Tabu: Guru Pelopor Revolusi Pendidikan Seks di Kelantan

Menghidupkan Warisan Tari: Penghormatan buat Kuda Pacu

Dari Kegelapan ke Cahaya: Air Bersih dan Tenaga Solar Mengubah Kehidupan Kampung di Perak

Abbernaa: Daripada Tarian Klasik ke Penyelidikan Dasar

Jom Baca: Memulihkan Kemerosotan Pembelajaran, Menyalakan Semula Impian Anak-Anak Kita

Teman: Menawarkan Teman Penjagaan Masyarakat Menua di Malaysia

Impak Bersih Positif: Nelayan Pelindung Mamalia Laut

Vanilla Impact: Misi Uncle Alfred Menghidupkan Semula Rempah Warisan

Misi Menyelamatkan Beruang Matahari Kita