Abbernaa: Daripada Tarian Klasik ke Penyelidikan Dasar
Merupakan graduan Universiti Cambridge serta penerima Biasiswa Khazanah, dan kini berkhidmat sebagai Pegawai Strategi di Khazanah Nasional Berhad, perjalanan kerjaya Abbernaa Dhevi Kukananthan amat mengagumkan.


Namun sebelum timbunan nota polisi dan helaian cadangan memenuhi harinya, hidupnya dipenuhi mudras (gerak tangan yang mempunyai makna) dan monolog, iaitu ragas yang terhasil daripada tradisi alunan melodi turun-temurun. Malah, ruang latihannya sentiasa bermatlamat.
Dilahirkan dalam keluarga yang menghayati tradisi vokal klasik Karnatik, beliau memulakan latihan tarian Bharatanatyam, sebuah seni tari klasik India, pada usia enam tahun. Minatnya kemudian merangkumi lakonan dan teater.
"Seni persembahan telah menjadi nadi kehidupan saya. Saya sentiasa terpesona dengan manusia, sistem dan struktur," ujar beliau, yang kini bergelar graduan jurusan Sains Kemanusiaan, Sosial dan Politik. Baginya, terdapat kaitan yang erat antara seni dan bidang pengajiannya.
Pengalaman awal dalam bidang tari dan teater memberikan pemahaman tentang bagaimana struktur melahirkan ekspresi. Daripada latihan araimandi yang dilakukan berkali-kali bagi mencapai keseimbangan antara keanggunan dan kekuatan, hinggalah penyampaian dialog dengan penghayatan penuh, kesemuanya mengajar ketepatan dan disiplin.
Kini, prinsip tersebut menjadi pedoman dalam kerjayanya di Khazanah Nasional Berhad, di mana setiap perincian dan konteks adalah signifikan.
Menjulang Impian, Menyumbang kepada Negara
Sepanjang penglibatannya, Abbernaa telah mengalas pelbagai peranan dan setiap satu dihayati dengan keunggulan tersendiri. Inilah antara ciri-ciri utama yang dicari dalam kalangan penerima Biasiswa Khazanah.
"Kami tidak hanya menilai prestasi akademik... Kami inginkan pelajar yang seimbang, pencapaian cemerlang, penglibatan aktif dalam kokurikulum, berpotensi sebagai pemimpin, serta memiliki semangat tulus untuk berbakti kepada masyarakat dan negara," jelas Azlina Jaffar, Pengurus Kanan Biasiswa Global Khazanah.
Program biasiswa Khazanah ditubuhkan pada tahun 2006 oleh Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, dengan mandat untuk mengenal pasti dan membentuk bakat luar biasa.
Biasiswa Global Khazanah merupakan program sulung yayasan tersebut, dan telah menyokong lebih 1,600 pelajar cemerlang dari pelbagai latar belakang.
Proses pemilihan merangkumi lima peringkat, termasuk temu duga akhir bersama Pemegang Amanah Yayasan Khazanah. Mereka yang terpilih adalah antara yang terbaik, bakal pemimpin masa depan dalam organisasi utama negara.

Kami mengharapkan kesan berangkai penerima biasiswa ini menjadi pencetus perubahan, sebagaimana kami telah mengubah hidup mereka melalui pendidikan."
Azlina

Menelusuri Pengalaman Cendekiawan
Kesannya jelas tergambar pada individu seperti Abbernaa. "Saya berharap untuk terus berbakti dalam apa jua kapasiti," kata beliau dengan yakin.
Sama ada di atas pentas atau dalam mesyuarat strategik mahupun ketika menyumbang masa bersama NGO Hunger Hurts Malaysia selepas waktu kerja, beliau tidak pernah melupakan gambaran besar bahawa khidmat kepada masyarakat adalah suatu panggilan nurani.
Beliau memohon Biasiswa Global Khazanah pada tahun 2017. "Prosesnya amat tersusun dan menyeronokkan. Saya rasa benar-benar dihargai sebagai individu," katanya, sambil menekankan bahawa beliau tidak pernah dipaksa memenuhi stereotaip 'penerima biasiswa yang ideal.'
Apa yang menarik minatnya ialah peluang memilih bidang pengajian berdasarkan minat. "Ijazah ini membolehkan saya memahami realiti kehidupan manusia, menjelaskan struktur sistem global, serta melihat bagaimana kesemuanya saling berkaitan," katanya merujuk kepada pengajian politik, hubungan antarabangsa, sosiologi dan antropologi.
Pengalaman menuntut di luar negara disifatkannya sebagai "membuka mata, penuh kegembiraan dan ruang untuk merenung diri." Berinteraksi dengan rakan-rakan dari negara maju dan membangun memperkayakan pemahamannya. Ia mengukuhkan hasratnya untuk menyumbang ke arah kesejahteraan dan kebebasan sejagat.
Apabila ditanya tentang nasihat kepada pemohon baharu, beliau menjawab: "Meskipun klise, jadilah diri sendiri. Selepas SPM, ramai menasihatkan saya memilih laluan selamat dan menepati jangkaan tipikal. Tapi saya percaya, kita perlu menolak pandangan sebegitu."
Lembaran Baharu
Tamat pengajian menandakan permulaan baharu. Beliau kini bertugas di Khazanah Nasional Berhad sebagai Pegawai Strategi.
"Saya bangga dengan pencapaiannya dan berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan Abby," kata Azlina yang turut terlibat sejak sesi temu duga.
Sepanjang 12 tahun perkhidmatannya, Azlina bukan sahaja berperanan secara rasmi, malah turut menjadi penyokong dan tempat rujukan kepada para pelajar. Salah satu kenangan yang masih segar di ingatannya ialah seorang calon yang menghadiri temu duga dari dalam reban ayam.
"Kami boleh dengar bunyi ayam berkokok!" katanya sambil tertawa. "Tapi dia sangat mengagumkan, berupaya menghadapi temu duga dan berjaya mendapat biasiswa. Kini dia merupakan graduan salah sebuah universiti terbaik di UK."
Namun, bukan semua perjalanan itu mudah. Azlina mengimbas satu kes pelajar yang menghadapi kesukaran akademik, dan beliau sendiri menjadi sumber dorongan sepanjang tempoh tersebut. Apabila pelajar itu akhirnya berjaya, panggilan pertama dibuat kepadanya.
Kami bertemu Abbernaa di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC), sebuah ruang yang suatu ketika dahulu menjadi pentas untuknya menjelma sebagai watak pelbagai. Hari ini, ruang itu lebih sunyi, namun bukan tidak hidup.
Bagi ramai, biasiswa bukan sekadar peluang pendidikan. Ia adalah gerbang yang membuka laluan kepada kemerdekaan diri dan peluang untuk berkembang melangkaui satu laluan tunggal.
Sering kali kita mendengar, "Jack of all trades is a master of none." Namun versi sepenuhnya ialah: "...but oftentimes better than master of one."
Dan Abbernaa ialah buktinya.

Pasar Siti Khadijah: Tradisi Bertemu Revolusi Digital

Menjulang Warisan Emas: Kebangkitan Semula Telepuk di Terengganu

Wira Kesihatan Mental di PPR Batu Muda

Wira Harian: Rakyat Malaysia yang Tampil Tika Krisis

Merungkai Tembok Tabu: Guru Pelopor Revolusi Pendidikan Seks di Kelantan

Menghidupkan Warisan Tari: Penghormatan buat Kuda Pacu

Dari Kegelapan ke Cahaya: Air Bersih dan Tenaga Solar Mengubah Kehidupan Kampung di Perak

Abbernaa: Daripada Tarian Klasik ke Penyelidikan Dasar

Jom Baca: Memulihkan Kemerosotan Pembelajaran, Menyalakan Semula Impian Anak-Anak Kita

Teman: Menawarkan Teman Penjagaan Masyarakat Menua di Malaysia

Impak Bersih Positif: Nelayan Pelindung Mamalia Laut

Vanilla Impact: Misi Uncle Alfred Menghidupkan Semula Rempah Warisan

Misi Menyelamatkan Beruang Matahari Kita