Menghidupkan Warisan Tari: Penghormatan buat Kuda Pacu
Di belakang pentas Forum Pelancongan ASEAN 2025, seorang penari lelaki membetulkan lilitan sampingnya dan memperkemaskan tanjaknya buat kali terakhir sebelum tirai dibuka.


Di sisinya, seorang penari wanita bersiap sedia penuh fokus, memakai perhiasan leher mandapun, yang diperbuat daripada lapisan daun perak dan emas, berserta hiasan kepala sarempak yang diperbuat daripada gangsa.
Apabila irama Tigad-tigad mula bergema, mereka melangkah seiring dan seirama.
Penari lelaki melompat dan menghentak, setiap gerakan menggambarkan ketangkasan penunggang kuda Bajau Samah merentasi padang terbuka.
Penari wanita pula membalas dengan lenggok penuh anggun, belahan baju sinapak menghidupkan setiap hayunan sapu tangan satin di hujung jemarinya.
Gerak tari mereka menggambarkan kekuatan dan kelembutan. Rasa bangga dan jati diri bergema melalui sebuah seni tari yang lahir hampir setengah abad lalu di Sabah.
Dipertontonkan buat pertama kali di Tamu Besar Kota Belud sekitar tahun 1970-an, tarian Kuda Pacu diinspirasikan daripada kemahiran menunggang kuda masyarakat Bajau yang sering digelar 'Koboi Timur'. Ada yang mempercayai tarian ini berkait dengan kepulangan pahlawan selepas perjalanan yang jauh.
Salah satu pergerakan ikoniknya ialah hentakan kaki yang tegap dan bertenaga, menyerupai gaya menunggang kuda. Tarian ini dicipta oleh Jeffry bin Oleh, seorang seniman, penari dan pengamal seni bela diri.
Melangkaui Bumi di Bawah Bayu
Kini, tarian ini menemukan rentaknya di lokasi baharu.
Sekumpulan anak Sabah yang menetap di Lembah Klang tampil memperkenalkan semula seni ini melalui Program Apresiasi Kuda Pacu. Diterajui oleh Pertubuhan Seni Budaya Sabah, Kuala Lumpur dan Selangor (PERSENIBAH), inisiatif ini bertujuan memelihara warisan Bajau Samah, khususnya dalam kalangan diaspora di Semenanjung Malaysia.
Setiap unsur dalam tarian ini merupakan khazanah budaya yang tersendiri. Pakaian penarinya diperbuat daripada tekstil ikonik seperti dastar dan olos berangkit, hasil tenunan tangan yang halus penuh ketelitian.
As the fabrics speak of ancestry and legacy, so does the music repertoire. The Betitik musical consists of the Tetawak or a Kulintangan set, the Bebandir (a type of small gong), ibu and anak (combination of larger and smaller gongs) as well as drums.
Pemeliharaan elemen-elemen ini selari dengan misi Arts for All Seasons (ArtsFAS), program geran tahunan yang dikendalikan oleh Hasanah dengan kerjasama Kementerian Kewangan.
"Fokus kami adalah mewujudkan peluang dan platform dalam ekonomi kreatif kerana kami percaya seni dan budaya warisan adalah identiti sesebuah negara dan rakyatnya," jelas Mukhlis bin Mohd Yusoff, Eksekutif Kanan, Seni dan Ruang Awam Hasanah. “Inisiatif ini juga membuka ruang untuk kefahaman silang budaya dan penghargaan terhadap Kuda Pacu dalam kalangan masyarakat di Semenanjung.”

Fokus kami adalah mewujudkan peluang dan platform dalam ekonomi kreatif kerana kami percaya seni dan budaya warisan adalah identiti sesebuah negara dan rakyatnya."
Eksekutif Kanan, Seni dan Ruang Awam di Yayasan Hasanah

Bersumber dari Warisan, Disemai di Bumi Baharu
Dayang Norinah binti Datu Gastan, pengasas PERSENIBAH yang kini mempunyai lebih 150 ahli, melihat kerjasama merentas sektor ini sebagai faktor penting dalam memastikan tarian ini terus berkembang.
"Sokongan dana membolehkan kami membawa Pak Jeffry ke Kuala Lumpur, satu peluang besar buat para pengkaji mendengar sendiri daripada pencipta asal," katanya, merujuk kepada sesi Bicara Seni yang menghimpunkan 69 peserta. Ia menjadi langkah penting dalam usaha mendokumentasikan tarian yang masih kurang bahan rujukan rasmi.
Dayang yang telah lama bergiat dalam bidang pendidikan seni dan budaya, yang mana bermula di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah dan kini di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), terus menyemai generasi pelapis melalui usaha niaganya, Dayang Entertainment.
Program Apresiasi Kuda Pacu turut menampilkan bengkel tari yang menarik penyertaan lebih 100 peserta, diakhiri dengan pertandingan tarian yang berlangsung dalam dewan penuh, kongsi Noor Arleena bt Jamalluddin @ Jamal, yang menubuhkan PERSENIBAH bersama Dayang pada tahun 2021.
Sejak ditubuhkan, PERSENIBAH menjadi medan pertemuan bagi penggiat seni budaya, di mana ia menjadi ruang di mana warisan bukan sekadar disimpan, tetapi diwariskan. Salah seorang daripadanya ialah Syafie bin Suwardi, atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Firas, yang mula bergiat aktif sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mempelajari Kuda Pacu pada 2016 dan kini mahir dalam beberapa tarian warisan lain seperti Magunatip dan Sumazau.

Seperti Dayang, Firas berkongsi bahawa kegembiraan menari di hadapan penonton kini disertai dengan rasa tanggungjawab dan penghormatan dalam membawa warisan ini melangkaui tempat asalnya.
Berasal dari Tuaran dan kini sedang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Tari di Universiti Malaya, beliau bercita-cita menjadi seorang pendidik.
"Tarian bukan sekadar hobi, tetapi satu janji untuk masa depan yang cerah. Sebab itu pendidikan formal dalam bidang ini penting bagi saya," kata Firas.
Akhirnya, harapan Firas, misi PERSENIBAH dan sokongan daripada Kementerian Kewangan dan Hasanah, adalah benang-benang dalam anyaman yang sama. Ada yang menyulam momentum, ada yang mengikat memori, dan semuanya penting dalam menghasilkan sebuah karya agung.
Bagi Dayang pula, projek ini bukan sekadar siri persembahan atau bengkel, ia adalah satu penghormatan.
"Ini hadiah buat penciptanya, Pak Jeffry, para pencinta tarian tradisional, dan anak-anak Sabah yang berada jauh dari tanah kelahiran mereka," katanya, bukan sebagai penutup, tetapi sebagai satu permulaan yang penuh harapan.

Pasar Siti Khadijah: Tradisi Bertemu Revolusi Digital

Menjulang Warisan Emas: Kebangkitan Semula Telepuk di Terengganu

Wira Kesihatan Mental di PPR Batu Muda

Wira Harian: Rakyat Malaysia yang Tampil Tika Krisis

Merungkai Tembok Tabu: Guru Pelopor Revolusi Pendidikan Seks di Kelantan

Menghidupkan Warisan Tari: Penghormatan buat Kuda Pacu

Dari Kegelapan ke Cahaya: Air Bersih dan Tenaga Solar Mengubah Kehidupan Kampung di Perak

Abbernaa: Daripada Tarian Klasik ke Penyelidikan Dasar

Jom Baca: Memulihkan Kemerosotan Pembelajaran, Menyalakan Semula Impian Anak-Anak Kita

Teman: Menawarkan Teman Penjagaan Masyarakat Menua di Malaysia

Impak Bersih Positif: Nelayan Pelindung Mamalia Laut

Vanilla Impact: Misi Uncle Alfred Menghidupkan Semula Rempah Warisan

Misi Menyelamatkan Beruang Matahari Kita