Pasar Siti Khadijah: Tradisi Bertemu Revolusi Digital
Hari kedua Ramadan menyaksikan Pasar Besar Siti Khadijah (PBSK) kembali meriah. Kelihatan orang ramai yang terdiri daripada penduduk Kota Bharu sibuk membeli keperluan memasak, termasuk pelancong yang ralit menghayati suasana sambil mengamati deretan hasil segar tempatan.


Kelantan sememangnya sinonim dengan pasar, dan inilah yang paling ikonik. Dahulunya dikenali sebagai Pasar Pusat Buluh Kubu, ia dinamakan semula pada tahun 1997 sebagai penghormatan kepada isteri Nabi Muhammad, mencerminkan majoriti peniaganya yang terdiri daripada golongan wanita.
Seperti juga nasi tumpang yang tersohor, setiap lapisan membawa rasa yang berbeza tetapi saling melengkapi, begitulah juga pasar ini yang tersusun secara bertingkat: aras bawah dipenuhi hasil basah dan hiruk-pikuk jual beli; aras tengah menampilkan barang kering dan gerai makanan; manakala aras atas menempatkan kain, tekstil dan busana tempatan.
Manfaat Digital
Di tingkat dua, Roslina Suria bt Hussin sibuk melayani pelanggan di kedainya yang menjual serunding, keropok, ikan bilis, dodol, dan snek dari selatan Thailand.
Perniagaan ini diwarisi sejak dua generasi, dan telah dikendalikan olehnya sejak sedekad lalu. Banyak yang telah berubah sejak zaman ibunya berniaga.
Salah satu perubahan terbesar ialah kebangkitan ekonomi digital. Pada 2015, nilai transaksi e-dagang Malaysia mencecah RM398.2 bilion. Menjelang 2022, jumlah ini melonjak kepada RM1.12 trilion. Hanya pada suku akhir 2024, RM310.2 bilion telah direkodkan.
Menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), ekonomi digital menyumbang 23% kepada KDNK Malaysia pada tahun 2022, dan dijangka melepasi 25% menjelang 2025.
Impaknya turut terasa di sini. Kod QR kini menjadi kelaziman, mencerminkan kadar penerimaan pembayaran digital yang tinggi di Malaysia, dan perubahan yang sedang berlaku di PBSK sendiri.
Menyedari keperluan ini, Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) melancarkan program Digital Big PBSK bagi memastikan para peniaga di sini tidak ketinggalan. Program ini merangkumi kelas literasi digital dan kewangan, serta bengkel pemasaran dan motivasi.
Inisiatif ini disokong oleh Geran Khas Hasanah, sebuah kerjasama antara Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan.
Roslina, salah seorang daripada 30 peserta program ini, berkongsi bahawa pendapatannya telah meningkat sejak menyertai program ini. Sepanjang setahun, beliau menyelesaikan Fasa 1 yang mengambil masa empat bulan bengkel dan bimbingan, sebelum meneruskan ke Fasa 2 selama lapan bulan yang memberi fokus kepada latihan keusahawanan secara praktikal.


Saya belajar guna Canva, mudah nak buat poster untuk promosikan barang di Shopee dan TikTok… Saya juga belajar cara promosikan barang di Shopee dengan lebih efektif.”
Ahmad Fikrillah bin Moh Yusoff - peserta program


Aliran Pelanggan Baharu
Roslina bukan satu-satunya. Semakin ramai peniaga di PBSK kini berani melangkah masuk ke dunia digital.
Ketika mencari lokasi temu bual seterusnya, kami dibantu oleh peniaga lain yang dengan mesra menunjukkan arah, jelas terbukti betapa kukuhnya semangat komuniti yang hidup di sini.
Di tingkat tiga, pusat tekstil dan pakaian termasuk batik Kelantan blok dan lukis tangan, kami bertemu dengan seorang lagi peserta program iaitu Ahmad Fikrillah bin Moh Yusoff.
“Saya belajar guna Canva, mudah nak buat poster untuk promosikan barang di Shopee dan TikTok… Saya juga belajar cara promosikan barang di Shopee dengan lebih efektif,” jelasnya.
Daripada kira-kira 1,400 peniaga yang menghuni bangunan berbentuk oktagon ini, peserta dipilih melalui kerjasama YOKUK dan Persatuan Peniaga-peniaga Kecil Bumiputera PBSK.
Dengan ramai peniaga menawarkan produk serupa, persaingan amat sengit. Namun melalui e-dagang, mereka dapat memperluas capaian, bukan sekadar pelanggan tetap dan pelancong yang datang, sekaligus menjangkau pelanggan baharu yang kini semakin gemar membeli-belah secara dalam talian.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, 70.6% rakyat Malaysia membeli-belah secara atas talian pada tahun 2023. Angka ini dijangka terus meningkat berikutan kadar penembusan internet dan kadar pendigitalan yang tinggi.
Bagi Ahmad, peralihan ini telah meningkatkan pendapatannya antara 15 hingga 20 peratus.
Pengerusi YOKUK, Datin Suliana Shamsuddin Alias berkata bahawa semua peserta program mencatatkan peningkatan pendapatan. “10% daripada mereka memperoleh kenaikan lebih RM3,000 manakala 40% mencatatkan peningkatan lebih RM1,000.”

Mengimbangi Dua Dunia
Namun, kemajuan ini turut hadir dengan cabaran tersendiri. Menurut Presiden Persatuan Peniaga-peniaga Kecil Bumiputera PBSK, Ahmad Nazri bin Che Omar, antara kekangan utama ialah masa. Ramai peniaga terlalu sibuk menjaga kedai hingga sukar meluangkan masa dan tumpuan di atas talian.
Satu lagi cabaran yang dihadapi oleh YOKUK ialah pengurusan waktu. Memandangkan waktu puncak yang sibuk, bengkel terpaksa diadakan pada waktu malam atau awal pagi, ketika pasar lengang seketika.
Pengurus Kanan Geran di Yayasan Hasanah, Siti Noradilah Sabudin menjelaskan bahawa inisiatif ini selari dengan misi Hasanah untuk membina ekosistem inklusif yang menyokong perniagaan kecil agar mampu bersaing dalam ekonomi digital. Beliau turut menekankan bahawa penubuhan kedai atas talian sangat membantu peniaga wanita kerana ia memberi fleksibiliti untuk mengurus keluarga dan tanggungjawab rumah tangga.
Selain peningkatan purata pendapatan lebih RM1,000, peserta program turut melaporkan bilangan pelanggan dan jualan yang meningkat, serta pengurusan perniagaan yang lebih kemas. Datin Suliana melihat potensi besar untuk memperluas model ini, bukan hanya di Kelantan, tetapi ke seluruh negara.
Ketika bangunan PBSK yang dibuka pada 1985 kini menjalani kerja-kerja naik taraf, satu transformasi selari turut berlaku melibatkan pemikiran dan pandangan para peniaga. Dengan meneroka potensi e-dagang, mereka kini merangka masa depan pasar dan diri mereka sendiri, perlahan-lahan membina masa depan digital.

Pasar Siti Khadijah: Tradisi Bertemu Revolusi Digital

Menjulang Warisan Emas: Kebangkitan Semula Telepuk di Terengganu

Wira Kesihatan Mental di PPR Batu Muda

Wira Harian: Rakyat Malaysia yang Tampil Tika Krisis

Merungkai Tembok Tabu: Guru Pelopor Revolusi Pendidikan Seks di Kelantan

Menghidupkan Warisan Tari: Penghormatan buat Kuda Pacu

Dari Kegelapan ke Cahaya: Air Bersih dan Tenaga Solar Mengubah Kehidupan Kampung di Perak

Abbernaa: Daripada Tarian Klasik ke Penyelidikan Dasar

Jom Baca: Memulihkan Kemerosotan Pembelajaran, Menyalakan Semula Impian Anak-Anak Kita

Teman: Menawarkan Teman Penjagaan Masyarakat Menua di Malaysia

Impak Bersih Positif: Nelayan Pelindung Mamalia Laut

Vanilla Impact: Misi Uncle Alfred Menghidupkan Semula Rempah Warisan

Misi Menyelamatkan Beruang Matahari Kita