Wira Harian: Rakyat Malaysia yang Tampil Tika Krisis

Setiap kali berlakunya bencana, ada satu tempoh kritikal di mana tindakan pantas mampu membawa perubahan besar. Bukan sekadar simbolik atau untuk tumpuan media, tetapi soal kecekapan dalam menggerakkan sumber bantuan kepada mereka yang terputus hubungan, menunggu dengan penuh ketidakpastian, atau menjadi rentan sekelip mata.

Bagi Iltizam Relief Society (Iltizam), gerak kerja kemanusiaan ini bukan bermula dengan amal, tetapi kejelasan tentang apa sebenarnya keperluan masyarakat dan secepat mana ia boleh disampaikan?

Matlamat Iltizam bukan dibentuk di bilik mesyuarat, tetapi di lapangan, dengan tekad yang bermula di tebing Sungai Gaza dan terus diuji di kawasan banjir Kelantan dan seterusnya.

"Perjalanan saya bersama Iltizam mengejutkan semua orang, termasuk diri saya sendiri," kata pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Mohd Shah Sapiei.

Hanya sebulan selepas pulang dari Palestin, NGO antarabangsa yang beroperasi dari Malaysia ini ditubuhkan. Apa yang bermula sebagai seruan peribadi kini berkembang menjadi organisasi yang dibina atas keperluan mendesak, kepercayaan dan keyakinan bahawa komuniti harus menjadi teras dalam proses pemulihan mereka sendiri.

Dalam dunia bantuan kemanusiaan, pembiayaan tepat pada masanya sangat penting. Menyedari hakikat ini, Hasanah memperkenalkan proses semakan pantas, Green Lane, yang mempercepatkan permohonan, kelulusan, dan penyaluran dana. Iltizam merupakan salah satu rakan kerjasama Green Lane.

Eksekutif Kanan Pembangunan Komuniti dan Bantuan Kemanusiaan (HDR), Muhammad Zaki Ahmad Zaini menjelaskan bahawa syarat kelayakan termasuk "sekurang-kurangnya dua tahun operasi dengan rekod kewangan diaudit, urus tadbir kewangan yang baik, dan rekod kerjasama positif bersama Hasanah."

Iltizam memenuhi semua kriteria ini dan sejak tahun 2020, telah melaksanakan 23 inisiatif bernilai RM735,000, membantu lebih 43,000 individu dalam saat paling genting mereka.

"Sebelum ini, HDR hanya aktif semasa musim tengkujuh hujung tahun, tetapi kini bantuan bencana menjadi keperluan sepanjang tahun. Ini bermakna lebih banyak dana dan sumber diperlukan, dan kami amat menghargai sokongan tambahan daripada Kementerian Kewangan dan Khazanah Nasional Berhad," jelas Zaki.

Nakhoda Kehidupan Sendiri

Dahulu seorang pegawai bank yang kehilangan pekerjaan selepas beberapa siri pembedahan, Muhammad Rafiq Ravi Abdullah menemui sinar harapan Iltizam. Kini beliau mengetuai usaha bantuan kemanusiaan, bukan dari jauh, tetapi dari pengalaman hidupnya sendiri. Sebelum menyelaraskan bantuan, beliau dahulu juga pernah melalui krisis peribadi sendiri.

Penglibatan beliau dalam kerja sukarela bermula sejak zaman perbankan lagi, melalui Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Lembaga Zakat Selangor, meraih pengalaman yang membentuk peranannya pada hari ini.

"Pada hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), telefon Iltizam tidak henti-henti berdering. Kami menerima 70 hingga 80 panggilan sehari dan ratusan mesej meminta makanan, ubat-ubatan, dan kit kebersihan," kenangnya.

Di situlah beliau benar-benar menyedari kepentingan gerak kerja kemanusiaan. Ketika itulah juga kerjasama Iltizam bersama Hasanah bermula.

Walaupun dana awam masih penting untuk NGO, Rafiq mengakui bahawa sumbangan orang ramai selalunya hanya datang selepas sesuatu krisis berlaku. Dalam respons bencana, masa dan penyelarasan adalah sepenting kemurahan hati. Justeru, beliau berharap akan wujud lebih banyak model pembiayaan proaktif, perkongsian jangka panjang dan keupayaan menggerakkan bantuan sebelum krisis memuncak.

Pada hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), telefon Iltizam tidak henti-henti berdering. Kami menerima 70 hingga 80 panggilan sehari dan ratusan mesej meminta makanan, ubat-ubatan, dan kit kebersihan."

Daripada Silo ke Sinergi

Tahun 2024 merupakan antara tahun paling mencabar buat Malaysia, apabila banjir memaksa lebih 140,000 penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah kerugian negara mencecah RM933.4 juta, meningkat 23% berbanding tahun sebelumnya. Kerosakan tertinggi dicatatkan untuk kediaman sebanyak RM372.2 juta, diikuti aset awam dan infrastruktur sebanyak RM303.4 juta.

"Jika insiden berlaku dalam negara, kami mahu sampai ke lapangan dalam tempoh tiga hari, jika luar negara, sepuluh hari. Itulah tempoh paling kritikal bantuan diperlukan," kata Haji Mohd Shah.

Salah satu insiden paling mencabar buat pasukan Iltizam berlaku semasa misi bantuan banjir di Kelantan, apabila enjin bot mereka rosak di tengah sungai ketika dalam perjalanan menghantar bekalan kepada komuniti yang terputus hubungan. "Semua orang panik! Tapi akhirnya kami berjaya menghantar bekalan makanan ke enam buah pulau. Kami sangat bersyukur," ceritanya. Kisah ini menjadi peringatan bahawa bantuan bencana bukan kerja seseorang individu sahaja, ia harus digerakkan oleh ramai pihak. Daripada komuniti memberi amaran awal, ke pasukan lapangan yang meredah kawasan terputus, hingga penyelaras yang memantau data secara langsung, setiap tindakan ini saling bergantung pada perancangan yang rapi.

Kata Rafiq, "Kita tak tahu bila krisis akan berlaku, jadi kita mesti bersedia bertindak sepantas dan secekapyang mungkin." Namun kepantasan sahaja tidak mencukupi.

Impak sebenar memerlukan pemecahan kerjasama merentas sektor, antara NGO, penyumbang dana, agensi kerajaan dan komuniti yang terkesan. Apabila pengalaman dikongsi, sumber dipelbagaikan dan misi diselaraskan, bantuan bukan lagi sekadar tindak balas, ia menjadi strategi yang bermakna.

Ketika itu, kerjasama menjadi wadah yang kukuh, besar kapasitinya dan mampu merentas segala cabaran yang tidak menentu. Bagi organisasi bantuan seperti Iltizam, ini diterjemahkan sebagai kesiapsiagaan dan keyakinan untuk bangkit apabila krisis melanda.

Kerana setiap kali banjir melanda, dua arus akan bergerak serentak iaitu air dan tekad untuk bertindak.

ms_MYMalay