Menjulang Warisan Emas: Kebangkitan Semula Telepuk di Terengganu
Di tengah-tengah Kampung Budaya Terengganu, berdirinya Rumah Tele, saksi bisu kepada perubahan zaman. Dibina pada tahun 1888, rumah ini telah dipindahkan bukan sekali, tetapi dua kali, dari asalnya di Istana Maziah ke Padang Negara di Kuala Ibai, dan kemudiannya, pada tahun 1987, ke tapaknya kini di perkarangan Muzium Negeri Terengganu.



Sebagaimana rumah kayu ini yang juga dikenali sebagai Rumah Bujang Berserambi atau Istana Tengku Ni, ia dipelihara dan ditempatkan semula agar terus bertahan, begitu jugalah halnya dengan tekstil warisan negara, Telepuk. Suatu ketika dahulu hampir tenggelam dalam lipatan sejarah, kini Telepuk kembali bernyawa melalui tangan-tangan yang menghidupkan semula seni ukiran emas di atas kain ini.
Di dalam Rumah Tele, artisan Mohd Azwarin B. Ahmed sedang menekap daun emas pada fabrik. Gerak tangannya lembut, terarah, dan seakan membawa kita kembali ke zaman silam. Inilah Telepuk, antara seni tekstil tertua di Malaysia.
Penuh keanggunan, Telepuk dahulunya dikhaskan untuk golongan bangsawan dan sering menghiasi pakaian rasmi seperti baju sikap, jubah pertabalan, samping, dan tanjak untuk majlis perkahwinan.
Disingkap Kembali Dari Lembaran Masa
Telepuk dipercayai telah wujud sejak abad ke-17 atau ke-18, dan ada yang mengaitkannya dengan zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Rujukan terhadap seni tekstil ini boleh ditemui dalam Syair Siti Zubaidah Perang Chik, yang menyebutnya sebagai perada. Dalam kesusasteraan lama, istilah "Telepuk" juga dikaitkan dengan sejenis bunga teratai, Nymphaea stellata. Ada yang berpendapat ia merupakan metafora kepada motif floral yang digunakan dalam cetakan, atau kepada kilauan daun emas yang menyerupai bunga teratai terapung di permukaan tasik yang disinari cahaya.
“Telepuk menceritakan kisah indah Tanah Melayu yang bersifat global. Ia merupakan seni yang turut wujud di negara lain seperti varak di India,” kata Ketua Seni dan Ruang Awam Yayasan Hasanah, Nini Marini. Di Indonesia, ia dikenali sebagai kain perada atau preda, manakala di Korea sebagai gyumbak.
Dalam karya The Malays: A Cultural History, Richard Winstedt menulis:
“Patani, Pahang dan Selangor menghasilkan kain (kain telepok) yang diukir dengan teknik yang turut diamalkan di Punjab. Kapas bercorak halus atas dasar hijau tua atau biru tua digilap menggunakan kulit siput (cowry), dicetak menggunakan blok kayu berukir yang disapu gam, dan daun emas dilekatkan pada corak yang sudah disapukan gam tersebut.”
Itulah proses sebenar yang ditunjukkan oleh Azwarin kepada pengunjung muzium setiap hari.
“99 peratus belum pernah lihat atau dengar tentangnya,” katanya, mengakui pernah ragu sama ada seni ini akan menarik minat. “Di kompleks muzium memang ada pameran Telepuk, jadi ramai yang datang dengan rasa ingin tahu dan teruja mahu melihat prosesnya,” tambahnya sambil tersenyum.
Perbualan-perbualan ini, menurut Nini, adalah benih yang menyemai kesedaran terhadap kehalusan seni ini.


Telepuk menceritakan kisah indah Tanah Melayu yang bersifat global. Ia merupakan seni yang turut wujud di negara lain seperti varak di India.”
Nini Marini

Menuntut Ilmu Dari Seorang Adiguru
Perkenalan Azwarin dengan dunia Telepuk bermula pada tahun 2004, apabila beliau memilihnya sebagai subjek tugasan akhir tahun. Namun, kekurangan maklumat membuatkan pencariannya terasa tidak lengkap.
“Saya berjaya siapkan tugasan, tapi hati rasa belum puas. Saya mahu tahu lebih lagi.”
Hanya pada tahun 2017 barulah beliau menemui satu bengkel di Selangor. Di situlah beliau berguru dengan mendiang Adiguru Norhaiza bin Noordin, yang menjadi permulaan kepada hubungan yang erat antara dua anak jati Terengganu ini.
Azwarin menggambarkan Abe Jah, panggilan mesra buat gurunya, sebagai seorang yang pemurah dengan ilmu, terbuka kepada pandangan generasi muda, dan amat menitikberatkan ketulenan seni. Mereka sering bergurau seperti sahabat dan berbicara panjang tentang misteri seni Telepuk serta bagaimana menghasilkan hasil kerja terbaik.
“Hari ini kamu belajar kerana minat. Tapi suatu hari nanti, ia akan jadi tanggungjawab kamu.” Itulah pesan Abe Jah yang kini bergema dengan makna yang jauh lebih mendalam selepas pemergiannya pada Disember lalu.
Perjalanan pemuliharaan Telepuk oleh Hasanah bersama Abe Jah bermula pada tahun 2019, menyokong penyelidikan dan bengkel melalui kerjasama dengan rakan projek, Lamar Dollar, dengan Abe Jah sebagai teraju utama.
Pelancaran buku Telepuk: Forgotten Flowers of Gold dalam bahasa Inggeris beserta siri program awam kebelakangan ini turut membuka lembaran baharu,membawa seni tekstil ini yang dahulunya eksklusif kepada bangsawan, kini lebih dekat kepada rakyat.


Menyingkap Seni Telepuk yang Kian Dilupakan
Terdapat empat proses utama dalam pembuatan Telepuk: menenun sutera halus, calendering menggunakan siput gerus, mengukir blok kayu berukir, dan menekap daun emas ke atas kain.
Motif seperti daun inai, pucuk rebung, bunga cengkih dan bunga kenanga melambangkan kekayaan flora Malaysia, yang bukan sahaja menawan dari segi visual, tetapi penuh makna simbolik khususnya dalam konteks keturunan diraja.
Terdapat juga aturan dalam penggunaannya. Azwarin menjelaskan bahawa motif pucuk rebung, misalnya, hanya boleh digunakan di bahagian kepala kain, manakala bentuknya pula menandakan negeri asal.
Salah satu cabaran utama adalah kos. “Kadang-kadang orang nak tengok contoh, tapi semua hasil kerja saya ditempah khas dan sudah dimiliki pelanggan,” katanya, yang kini mengumpul dana untuk menghasilkan koleksi pameran.
Namun begitu, beliau sentiasa terbuka untuk memperkenalkan Telepuk kepada khalayak baru.
“Bayaran kecil pun saya terima, asalkan dapat sebarkan kesedaran.” Bagi Nini, harapannya ialah agar artisan seni warisan seperti Azwarin diiktiraf atas kepakaran mereka dan menerima bayaran yang setimpal. Beliau juga ingin melihat kain ini menghiasi dinding rumah di seluruh dunia, jika tidak dipakai, sebagai warisan yang dibanggakan.
Kembali ke Zaman Kegemilangan
Dahulunya menjadi warisan eksklusif golongan bangsawan, kini Telepuk kembali menerima penghargaan nasional.
Keistimewaannya masih utuh, bukan kerana ia dilarang, tetapi kerana ia dihormati. Daripada penggunaan daun emas 24 karat sehinggalah kepada upacara wukuk kain di mana kain diasapkan dengan daun pandan, bunga dan tebu, setiap langkahnya penuh ritual dan keindahan.
Ia bukan kemewahan yang dicipta semula, tetapi satu warisan yang lama dikenang, seperti yang tergambar dalam petikan Hikayat Misa Melayu:
“Adapun akan berjaga-jaga itu pun sampailah empat puluh hari empat puluh malam. Maka Balai Pancha Persada itu pun sudahlah diperbuat orang, maka terlalulah indah perbuatannya, kemuncak tungkubnya, ditatah dengan emas kerincing dan sulur bayungnya daripada perak, ditatah dengan perda terbang...”

Pasar Siti Khadijah: Tradisi Bertemu Revolusi Digital

Menjulang Warisan Emas: Kebangkitan Semula Telepuk di Terengganu

Wira Kesihatan Mental di PPR Batu Muda

Wira Harian: Rakyat Malaysia yang Tampil Tika Krisis

Merungkai Tembok Tabu: Guru Pelopor Revolusi Pendidikan Seks di Kelantan

Menghidupkan Warisan Tari: Penghormatan buat Kuda Pacu

Dari Kegelapan ke Cahaya: Air Bersih dan Tenaga Solar Mengubah Kehidupan Kampung di Perak

Abbernaa: Daripada Tarian Klasik ke Penyelidikan Dasar

Jom Baca: Memulihkan Kemerosotan Pembelajaran, Menyalakan Semula Impian Anak-Anak Kita

Teman: Menawarkan Teman Penjagaan Masyarakat Menua di Malaysia

Impak Bersih Positif: Nelayan Pelindung Mamalia Laut

Vanilla Impact: Misi Uncle Alfred Menghidupkan Semula Rempah Warisan

Misi Menyelamatkan Beruang Matahari Kita