Wira Kesihatan Mental di PPR Batu Muda
Dianggarkan, hampir sejuta rakyat Malaysia mengalami kemurungan menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 (NHMS 2023). Separuh daripada jumlah ini pernah mengalami kecenderungan mencederakan diri atau pemikiran untuk membunuh diri. Dalam kalangan kanak-kanak pula, situasi ini semakin membimbangkan, dimana satu daripada enam menghadapi cabaran kesihatan mental, angka yang naik sekali ganda sejak tahun 2019.


Di sebalik angka ini tersembunyi insan sebenar termasuklah jiran yang menyapa di lif, kanak-kanak yang bermain buaian di taman, atau pakcik pemilik kedai runcit di hujung jalan.
Penderitaan mereka mungkin tidak kelihatan. Namun, itu tidak bermakna ia tidak wujud.
Lebih menyedihkan, ramai memilih berdiam diri kerana takut dengan pandangan orang. Stigma ini menjadi tembok konkrit antara penderitaan dalam diam dan sokongan yang sepatutnya mereka terima.
Untuk memahami sejauh mana kita telah melangkah, dan berapa jauh lagi perjalanan yang perlu ditempuh, kita wajar menoleh ke belakang.
Sistem kesihatan mental formal di Malaysia bermula lebih satu abad lalu dengan penubuhan Hospital Bahagia Ulu Kinta, atau lebih dikenali sebagai Tanjong Rambutan pada tahun 1911. Sebagai institusi psikiatri pertama negara, ia berperanan besar selama beberapa dekad. Namun, nama hospital lama-kelamaan menjadi bahan sindiran kepada mereka yang mengalami gangguan mental. Walaupun sering disebut secara bergurau, ia mencerminkan ketidakselesaan masyarakat terhadap isu kesihatan mental.
Pada era 1980-an dan 1990-an, pendekatan beralih kepada penyahinstitusian, penubuhan unit psikiatri di hospital awam dan kesedaran yang semakin meningkat bahawa kesihatan mental perlu menjadi sebahagian daripada penjagaan kesihatan utama.
Di Sini, Perubahan Bermula
Di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, sebuah kawasan perumahan awam di Kuala Lumpur, perubahan sedang mula bertapak. Ia berlaku secara senyap namun berkesan. Sekumpulan wanita sedang meruntuhkan salah tanggapan lama, menepis rasa takut dan malu dengan tindakan berani dan penuh empati.
Rakan kerjasama mereka dalam misi ini ialah Thrive Well, sebuah perusahaan sosial yang menyediakan perkhidmatan sokongan psikologi mampan kepada komuniti terpinggir dan berkeperluan tinggi. Antara inisiatifnya termasuk Program K.A.M.I (Keluarga Akrab Mencapai Impian) yang mengukuhkan hubungan kekeluargaan menerusi sesi bimbingan keibubapaan dan pelbagai aktiviti bersama komuniti B40.
Program Harmoni diperkenalkan sewaktu penularan COVID-19, ketika ketahanan emosi berada di tahap kritikal. Sedar bahawa masyarakat cenderung mengelak topik ini, Thrive Well bersama Women of Will memperkenalkan pendekatan yang lebih lembut, dengan menggabungkan sokongan kesihatan mental dengan bengkel pemakanan. Menurut Teoh Rhu Yie, Ketua Pembangunan Komuniti Thrive Well yang juga pakar psikologi klinikal, pendekatan dua hala ini membantu peserta lebih terbuka untuk berbicara tentang isu yang biasanya dielakkan.
Pendekatan menyeluruh ini merupakan asas kepada sokongan Geran Khas Hasanah bersama Kementerian Kewangan. “Bekerjasama dengan MoF, kemiskinan ditangani secara pelbagai dimensi, bukan hanya melalui penjanaan pendapatan tetapi juga kesejahteraan. Pendekatan berasaskan komuniti ini melibatkan pelbagai rakan kerjasama dan intervensi, semuanya berteraskan pemerkasaan akar umbi,” jelas Koh Xiu Heng, Pengurus Geran Pembangunan Komuniti di Hasanah.

Bekerjasama dengan MoF, kemiskinan ditangani secara pelbagai dimensi, bukan hanya melalui penjanaan pendapatan tetapi juga kesejahteraan. Pendekatan berasaskan komuniti ini melibatkan pelbagai rakan kerjasama dan intervensi, semuanya berteraskan pemerkasaan akar umbi.”
Koh Xiu Heng, Pengurus Geran Pembangunan Komuniti di Hasanah


Ubah Penderitaan kepada Sokongan
Nurulhazren, atau lebih mesra dipanggil Kak Reen merupakan salah seorang penggerak utama dalam revolusi senyap ini yang diasaskan melalui dialog, empati dan kefahaman. Bagi Kak Reen, usaha ini bukan sahaja bermakna malah sangat dekat di hatinya.
Apabila masalah kesihatan dan kewangan semasa pandemik menyebabkan beliau dimasukkan ke hospital, Program Harmoni menjadi titik perubahan dalam hidupnya. Beliau mempelajari teknik pengurusan tekanan, kawalan emosi, komunikasi berkesan dan prinsip kawalan diri. Semua ini membantu beliau memulihkan keadaan fizikal dan mental dirinya.
"Hubungan saya dengan anak-anak bertambah rapat. Saya terinspirasi untuk memulakan perniagaan kuih dari rumah bagi menambah pendapatan," kata ibu kepada empat orang anak ini. Pencapaian paling besar bagi Kak Reen ialah tidak lagi bergantung kepada ubat untuk merawat keresahan.
"Saya mahu berkongsi ilmu yang mengubah hidup saya supaya orang lain juga dapat merasai manfaatnya," kata Kak Reen yang kini giat menyebarkan kesedaran dan sokongan komuniti di PPR Batu Muda.
Duta-duta komuniti ini dilatih dalam pelbagai aspek, antaranya pertolongan cemas psikologi dan teknik mendengar secara empati tanpa menghakimi. Mereka juga perlu menjalani konsultasi rakan sebaya dalam satu tempoh masa dan perlu lulus dalam penilaian akhir yang ketat.
Meskipun setelah ditauliahkan, membina kepercayaan dengan penduduk mengambil masa. Tidak ramai yang bersedia untuk berkongsi secara terbuka pada awalnya, tetapi Kak Reen melihat perubahan mula berlaku. Empat duta komuniti di PPR Batu Muda telah merekodkan 83 jam konsultasi setakat ini. Perbualan ini berlangsung secara santai, mudah diakses dan mesra, sama ada di kawasan lapang mahupun di kaki lima blok.
Apabila mengulas isu lazim yang sering dikongsikan oleh klien, beliau dilihat berhati-hati demi menjaga kerahsiaan dan hanya mengulas secara umum tentang masalah rumah tangga, kesihatan, kewangan, anak remaja dan pertelingkahan kejiranan.
Beliau juga percaya bahawa istilah negatif seperti "orang gila", yang beliau sendiri pernah gunakan, harus dihapuskan demi mewujudkan ruang perbincangan yang lebih sihat dan berempati.
Tangan yang Membuai Buaian
Jalinan ukhwah dalam kalangan peserta merupakan satu lagi impak penting yang tidak dijangka. "Walaupun tinggal di kompleks sama, kami dulu tidak saling mengenali. Sekarang, kami seperti sebuah keluarga," kongsi Kak Reen, merujuk kepada semangat kekitaan yang terbina.
Mereka ini antaranya adalah pemilik perniagaan, isteri, ibu dan anak kepada keluarga masing-masing. Namun, semua tetap komited untuk membawa perubahan kepada jiran, rakan dan juga orang asing yang memerlukan.
Koh menganggap wanita-wanita ini sebagai barisan hadapan yang merapatkan jurang sokongan kesihatan mental dalam komuniti yang terpinggir. Dengan purata kebangsaan hanya 1.27 pakar psikiatri bagi setiap 100,000 penduduk, jauh daripada saranan WHO iaitu seorang bagi setiap 10,000 penduduk, konsultasi rakan sebaya yang berkualiti adalah amat bernilai.
"Hasanah berbangga dapat menyokong mereka, ini pencapaian yang wajar diraikan," ujar beliau. Pandangan ini turut dikongsi oleh fasilitator mereka, Rhu Yie, yang menyuarakan rasa bangga terhadap ketekunan dan dedikasi para peserta meskipun mereka turut menggalas pelbagai tanggungjawab peribadi.
Apa yang sedang berlaku di PPR Batu Muda ini adalah hasil usaha akar umbi yang konsisten sejak hampir lima tahun lalu. Terlalu lama, isu kesihatan mental hanya dibisikkan secara perlahan atau tidak dibincangkan langsung. Hari ini, kesunyian itu mula dipecahkan. Bukan oleh golongan profesional sahaja, tetapi oleh wanita dalam komuniti itu sendiri yang mengubah perbualan ini. Satu gerak kecil, satu hati terbuka, satu langkah pada satu masa.

Pasar Siti Khadijah: Tradisi Bertemu Revolusi Digital

Menjulang Warisan Emas: Kebangkitan Semula Telepuk di Terengganu

Wira Kesihatan Mental di PPR Batu Muda

Wira Harian: Rakyat Malaysia yang Tampil Tika Krisis

Merungkai Tembok Tabu: Guru Pelopor Revolusi Pendidikan Seks di Kelantan

Menghidupkan Warisan Tari: Penghormatan buat Kuda Pacu

Dari Kegelapan ke Cahaya: Air Bersih dan Tenaga Solar Mengubah Kehidupan Kampung di Perak

Abbernaa: Daripada Tarian Klasik ke Penyelidikan Dasar

Jom Baca: Memulihkan Kemerosotan Pembelajaran, Menyalakan Semula Impian Anak-Anak Kita

Teman: Menawarkan Teman Penjagaan Masyarakat Menua di Malaysia

Impak Bersih Positif: Nelayan Pelindung Mamalia Laut

Vanilla Impact: Misi Uncle Alfred Menghidupkan Semula Rempah Warisan

Misi Menyelamatkan Beruang Matahari Kita