Merungkai Tembok Tabu: Guru Pelopor Revolusi Pendidikan Seks di Kelantan

Ketika loceng berbunyi di SK Kandis, seorang guru menuju ke kelas seterusnya sambil membawa sebuah patung bersaiz kanak-kanak. Ia mungkin kelihatan janggal bagi sesetengah orang, tetapi bagi Cikgu Yusliza binti Kamarudin, ini hanyalah sebahagian daripada rutin harian dalam kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

Namun, kelas hari ini bukan tentang senaman atau sukan. Sebaliknya, murid-murid akan belajar tentang sempadan, keselamatan dan kepercayaan.

Inilah pendekatan beliau terhadap pendidikan seks. Murid-murid akan mengangkat kad merah untuk menunjukkan “sentuhan tidak selamat” dan kad hijau untuk “sentuhan selamat” apabila guru menunjukkan bahagian tertentu pada patung tersebut di hadapan kelas.

Setahun lalu, topik seperti ini sering disambut dengan diam seribu bahasa atau gelak kecil yang tertahan. Hari ini, murid-murid mendengar dan memberi maklum balas dengan penuh perhatian.

Patung tersebut merupakan ilham Cikgu Yusliza, hasil inspirasi daripada program “Engaging Teachers in Comprehensive Sexuality Education (CSE)” di Kelantan yang dilaksanakan oleh Persatuan Kesihatan Reproduktif Kelantan (ReHAK), penerima Geran Khas Hasanah dengan sokongan daripada Kementerian Kewangan.

Kanak-kanak Perlu Didengari

Keperluan terhadap pendidikan yang sesuai mengikut umur tentang autonomi tubuh, keselamatan peribadi dan konsep kerelaan (consent) kini semakin mendesak. Laporan Statistik Kanak-Kanak Malaysia 2024 mencatatkan peningkatan sebanyak 26.5% dalam kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia pada tahun 2023.

ReHAK turut memberi perhatian kepada dapatan Tinjauan Kesihatan Remaja 2022 yang menunjukkan kadar kadar hubungan seksual dalam kalangan remaja di Kelantan (7.3%) lebih tinggi berbanding purata kebangsaan (5.7%).

“Guru ialah individu dewasa paling hampir dengan pelajar kerana mereka menghabiskan banyak masa di sekolah. Kami percaya peranan guru sangat penting dalam pembentukan diri kanak-kanak. Bilik darjah harus menjadi ruang selamat untuk pelajar belajar dan menyuarakan pandangan,” jelas Pengurus Negeri ReHAK, Tengku Nur Fadzilah Tengku Hassan.

Fasa awal program ini melibatkan 53 sekolah di daerah Bachok. Daripada jumlah ini, empat sekolah rendah dan empat sekolah menengah dipilih untuk penglibatan lebih mendalam berdasarkan komitmen guru, pengetua dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Guru ialah individu dewasa paling hampir dengan pelajar kerana mereka menghabiskan banyak masa di sekolah. Kami percaya peranan guru sangat penting dalam pembentukan diri kanak-kanak. Bilik darjah harus menjadi ruang selamat untuk pelajar belajar dan menyuarakan pandangan,”

ReHAK, yang dinamakan semula pada tahun 2008, diasaskan pada 1957 sebagai Persatuan Perancang Keluarga Kelantan (KFPA).

Satu perubahan besar berlaku pada tahun 1994 apabila Persidangan Kependudukan dan Pembangunan Antarabangsa (ICPD) di Kaherah menyeru pendekatan berasaskan hak asasi manusia dengan penekanan terhadap kesihatan seksual dan reproduktif. KFPA merupakan antara 11,000 delegasi ICPD yang terdiri daripada wakil kerajaan, NGO, agensi antarabangsa dan aktivis masyarakat.

Pada tahun yang sama, pendidikan seks yang mula diperkenalkan di sekolah menengah pada tahun 1989, turut diperluas ke peringkat sekolah rendah. Dari semasa ke semasa, ia telah berkembang menjadi modul yang kini dikenali sebagai Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS). Namun begitu, pendidikan seks masih merupakan topik tabu dalam masyarakat kita.

Mengulas kekeliruan umum, Tengku yang memiliki Sarjana Sains Kesihatan Wanita dari Universiti Sains Malaysia berkata,

“Istilah seksualiti sering disalah erti. Ramai menyangka CSE bermaksud mengajar pelajar bagaimana hendak melakukan hubungan seks.”

Perubahan Bermula dari Bilik Darjah

Cikgu Rohani binti Rajab turut berkongsi beberapa cabaran lain. Dengan hanya 30 minit diperuntukkan bagi setiap kelas, “guru perlu kreatif, terutama dalam kelas dengan tahap celik huruf yang rendah,” jelas beliau. Tambahan pula, subjek ini tidak diuji dalam peperiksaan, maka ia sering dianggap kurang penting oleh ibu bapa.

Antara pendekatan beliau termasuk menyanyi lagu ciptaan sendiri, menggunakan alat bantu visual dan menggalakkan perbincangan dua hala. Usaha ini kini mula menunjukkan hasil.

“Pada mulanya mereka malu untuk bertanya, tetapi kini pelajar lebih faham tentang CSE. Mereka lebih terbuka bertanya soalan bukan sahaja di kelas tetapi juga kepada ibu bapa,” kata Cikgu Yusliza yang telah mengajar modul ini sejak 2021.

Namun, kemajuan tidak dicapai dengan mudah. Pada peringkat awal, ramai ibu bapa berasa bimbang, khuatir anak-anak mereka akan digalakkan ke arah pergaulan bebas. ReHAK telah berusaha dengan penuh kesabaran untuk mengubah persepsi ini, dengan menerangkan komponen Pendidikan Seksualiti Menyeluruh (CSE) kepada komuniti dan menekankan bagaimana pengetahuan serta kesedaran dapat membantu mengelakkan tingkah laku berisiko dalam golongan remaja.

“Lama-kelamaan, mereka sedar bahawa anak-anak mereka tidak didedahkan kepada perkara yang memudaratkan,” kata Pengurus Negeri ReHAK, Tengku Nur Fadzilah. “Mereka belajar tentang akibat tingkah laku seksual, tentang keizinan.” Walaupun masih ada keraguan, ramai kini menyedari bahawa Pendidikan Seksualiti Menyeluruh (CSE) sebenarnya berkaitan dengan keselamatan, batasan serta rasa hormat terhadap diri sendiri dan juga orang lain.

Hari ini, walaupun program formal telah berakhir, ReHAK masih menerima undangan untuk menjalankan sesi kesedaran. Ini satu kemenangan bagi Tengku. Ia petanda positif bahawa penolakan terhadap topik ini semakin memudar.

Lebih penting lagi, perubahan sedang berlaku di dalam bilik darjah dalam bentuk soalan-soalan yang akhirnya berani diajukan pelajar, dan dalam komitmen guru-guru yang membuka ruang untuk perbualan tersebut berlaku

Kata orang, “membesarkan seorang anak, sekampung diperlukan”, dan kadangkala, ia bermula dengan seorang guru yang cukup berani untuk bersuara dan masyarakat yang sudi mendengar.

ms_MYMalay