Impak Bersih Positif: Nelayan Pelindung Mamalia Laut

Dalam sebuah bengkel anjuran MareCet Marine Mammal Research & Conservation (MareCet), para peserta berkumpul mengelilingi seekor ‘ikan lumba-lumba’ yang terdampar di atas kanvas biru.

Namun, ia bukanlah haiwan sebenar, cuma model boleh kembung yang digunakan untuk mengajar nelayan tempatan dan orang awam tentang langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku kejadian haiwan laut terdampar. Di sekelilingnya, para peserta diajar cara mengangkat, mendukung dan melepaskan dengan cermat. Suasana cukup santai dengan penuh rasa ingin tahu. Ada yang berseloroh, ada yang mengambil gambar. 

Namun, realiti yang ingin dipersiapkan melalui latihan ini jauh lebih berat. 

Apabila seekor mamalia laut tersangkut pada jaring dan tidak ditemui segera, haiwan ini akan mula panik. Ia akan meronta, berguling, dan menyebabkan jaring semakin ketat di tubuhnya sehingga ia lemas. Ada nelayan yang sempat menyelamatkannya walaupun ia telah cedera, namun kerap kali sudah terlambat. Akhirnya, kedua-dua pihak tepaksa menanggung akibat. Haiwan tersebut kehilangan nyawa dan jaring nelayan pula rosak serta menjejaskan hasil tangkapan seharian. 

Secara global, dianggarkan lebih 300,000 cetacean (termasuk lumba-lumba dan porpoise) mati setiap tahun akibat tangkapan sampingan (by-catch), satu trend yang turut berlaku di Asia Tenggara. Di Malaysia, kadar sebenar mamalia laut terdampar tidak diketahui, tetapi laporan kejadian ini semakin meningkat dan sering dikaitkan dengan insiden tangkapan sampingan.

Di Kuala Sepetang (dahulunya dikenali sebagai Port Weld), keseimbangan antara kelangsungan hidup dan sumber rezeki semakin sukar untuk diabaikan. Di kampung nelayan ini, tempat sungai bertemu laut, kehidupan harian ditentukan oleh pasang surut dan hasil tangkapan.  

Berhampiran kawasan perairan ini terletaknya Hutan Paya Bakau Matang, ekosistem berusia lebih 100 tahun yang sering dijadikan model pengurusan hutan Lestari di peringkat global. Meliputi lebih 40,000 hektar, ia menyokong sumber perikanan yang kaya dan menjadi habitat penting kepada mamalia laut seperti lumba-lumba Irrawaddy, Indo-Pacific humpback, dan finless porpoise.

Kehadiran ikan lumba-lumba kini menjadi tarikan pelancong tempatan, kelibatnya yang muncul di permukaan laut sering menjadi rebutan lensa kamera. Namun di sebalik panorama yang memukau itu, tersimpan satu hakikat yang tersembunyi di mana perairan yang sama turut menyimpan bahaya tersembunyi, apabila jaring tangkapan boleh bertukar menjadi perangkap maut. 

Mengimbangi Kehidupan dan Sumber Rezeki

MareCet telah lama bekerjasama dengan komuniti nelayan untuk mengurangkan kejadian tangkapan sampingan dan kerosakan jaring akibat mamalia laut.  

“Projek Matang Dolphin bermula pada 2013,” jelas Dr. Vivian Kuit, ahli majlis dan pegawai saintifik MareCet. “Hasil kajian kami menunjukkan bahawa tangkapan secara tidak sengaja merupakan antara ancaman terbesar terhadap cetacean di sini.”  

Nadiah Azlan, Eksekutif Geran Alam Sekitar di Hasanah menjelaskan bahawa inisiatif ini selari dengan matlamat kelestarian Hasanah dalam mencapai keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan kelangsungan sumber rezeki masyarakat setempat.  

“Daripada menyekat aktiviti penangkapan ikan, kami percaya pada pendekatan memperkasakan nelayan dengan melibatkan mereka dalam usaha pemuliharaan. Penglibatan mereka sebagai ‘citizen scientist’ membolehkan mereka memahami kepentingan biodiversiti laut dan menjadi penyumbang utama kepada amalan perikanan lestari.” 

Penggunaan alat pinger akustik oleh MareCet iaitu peranti yang mengeluarkan bunyi berfrekuensi tinggi membantu menjauhkan ikan lumba-lumba daripada jaring. Langkah ini melindungi spesies seperti lumba-lumba Irrawaddy (berstatus terancam mengikut Senarai Merah IUCN), Indo-Pacific humpback, dan finless porpoise yang semuanya dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985.

Sehingga kini, 216 pinger telah diagihkan dan 34 nelayan terlibat dalam projek mitigasi tangkapan sampingan ini. 

Namun, meyakinkan nelayan untuk menyertai projek ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ramai bimbang pinger akan menjejaskan hasil tangkapan mereka.  

“Hanya beberapa nelayan berani mencuba dahulu. Mereka juga menyumbang data dengan mengisi borang pengesanan yang mencatatkan penampakan ikan lumba-lumba, jenis ikan yang ditangkap, dan insiden tangkapan sampingan atau kerosakan jaring.”  

Salah seorang perintis, Yeoh Teik Chin, melihat keberkesanan kaedah ini secara langsung dan mula mempromosikannya kepada rakan-rakan nelayan lain. Beliau menyatakan bahawa pinger telah berjaya mengelakkan ikan lumba-lumba daripada menghampiri jaringnya.  

MareCet turut melatih nelayan cara memasang pinger dengan betul dan aspek penyelenggaraan seperti memeriksa bateri dan menggantikannya apabila perlu. 

Hanya beberapa nelayan berani mencuba dahulu. Mereka juga menyumbang data dengan mengisi borang pengesanan yang mencatatkan penampakan ikan lumba-lumba, jenis ikan yang ditangkap, dan insiden tangkapan sampingan atau kerosakan jaring.”

Menyemai Kesedaran Awam

Satu lagi komponen penting projek ini ialah siri bengkel mengenai insiden haiwan laut terdampar dan pelepasan selamat, yang bertujuan membekalkan pengetahuan menyelamat kepada nelayan dan orang awam. Setakat ini, tiga bengkel telah dijalankan untuk nelayan dan satu untuk orang awam, melibatkan 179 nelayan dan 51 orang awam. Pendidikan adalah kunci, kerana dalam insiden haiwan terdampar, setiap minit boleh menentukan antara hidup dan mati.

Harapan Dr. Vivian terhadap pemuliharaan haiwan laut di Malaysia cukup jelas: “Saya berharap penggunaan pinger dapat diperluaskan ke negeri-negeri lain, dan jika boleh, ke peringkat serantau.”

Walaupun kemajuan telah dicapai, masih banyak yang perlu dilakukan. Kejayaan pemuliharaan jangka panjang memerlukan kerjasama mendalam, melibatkan pakar teknikal seperti MareCet, komuniti setempat, kerajaan dan sektor swasta. Hasanah kekal komited untuk memupuk jalinan kerjasama ini, demi memastikan ekosistem pesisir pantai Malaysia dapat terus berkembang dan terpelihara untuk generasi akan datang. 

Tiada tempat yang mencerminkan realiti ini dengan lebih baik daripada Kuala Sepetang. Dahulu, di sinilah terletaknya laluan kereta api pertama negara yang menghubungkan kawasan perlombongan bijih timah Taiping ke pesisir pantai. Kini, kawasan ini sekali lagi di persimpangan penting, antara tradisi dan transformasi, antara sumber rezeki dan tanggungjawab pemuliharaan, antara apa yang telah lama diamalkan dan apa yang perlu dimulakan hari ini.

ms_MYMalay