Misi Menyelamatkan Beruang Matahari Kita
Pada logo Tahun Melawat Malaysia 2026, terpapar dua ekor beruang matahari Malaya, Wira dan Manja; yang berdiri megah sebagai ikon rasmi kempen tersebut. Pengiktirafan ini, walaupun agak lewat, akhirnya memberikan pengamatan yang wajar terhadap spesies asli dari negara kita.


Namun, terlalu lama spesies beruang terkecil di dunia ini, yang bersifat penyendiri dan gemar memanjat pokok, telah terperangkap dalam kekosongan pemuliharaan. Penyelidikan terhadap spesies ini amat terhad, dan usaha perlindungannya pula tidak mencukupi.
Dari segi perundangan, beruang matahari atau Helarctos malayanus telah diklasifikasikan sebagai “Dilindungi Sepenuhnya” di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Di peringkat antarabangsa, ia tersenarai dalam Appendiks I Konvensyen tentang Perdagangan Antarabangsa mengenai Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (CITES), iaitu kategori tertinggi bagi spesies yang diancam kepupusan, dan turut diklasifikasikan sebagai terdedah (vulnerable) dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).
Berbekalkan lidah panjang yang sesuai untuk menjilat madu dan sarang anai-anai, serta tanda unik di dada yang berbeza bagi setiap satunya, seumpama cap jari, beruang matahari telah mendiami hutan hujan tropika Asia Tenggara sejak ribuan tahun dahulu. Namun, dalam dekad-dekad kebelakangan ini, populasinya merosot secara drastik akibat diburu, dikurung, dihalau keluar dari habitat dan dibunuh.
Di Sebalik Usaha Penyelamatan
Tersentuh oleh jurang nyata antara dasar dan realiti, seorang ahli biologi hidupan liar dan pakar ekologi hutan tropika, Dr. Wong Siew Te, menubuhkan Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo (BSBCC) pada tahun 2008, satu-satunya kemudahan seumpamanya di Malaysia.
Bertempat di Hutan Simpan Sepilok, pusat ini berfungsi untuk menyelamatkan, memulihkan dan jika sesuai, melepaskan semula beruang matahari ke habitat semula jadi. Dalam tempoh 17 tahun, sebanyak 70 ekor beruang telah diselamatkan dan dipulihkan di sini.
Dr. Wong menyatakan bahawa dalam tempoh tiga dekad lalu, populasi beruang matahari telah merosot sebanyak 35%, berpunca daripada aktiviti manusia yang langsung tidak menghormati alam, dengan beruang dewasa dibunuh untuk daging eksotik atau perubatan tradisional, anak-anak beruang dijual sebagai haiwan peliharaan, dan keseluruhan habitat mereka dimusnahkan atas dasar pembangunan.
Permintaan terhadap hempedu beruang bagi kegunaan perubatan tradisional masih menjadi punca utama pembunuhan ini. “Semua beruang yang diselamatkan di sini mengalami trauma. Mereka menyaksikan ibunya dibunuh dengan kejam oleh pemburu,” ujar Dr. Wong, yang mempunyai sikap penyayang terhadap haiwan sejak kecil lagi. Anak-anak beruang ini selalunya ditawan pemburu atau dijual dalam rangkaian perdagangan haram hidupan liar.

Beruang ialah mamalia besar yang mempunyai kapasiti otak yang tinggi, mereka mengenang. Ada antara beruang kami mengalami simptom gangguan tekanan selepas trauma (PTSD). Contohnya, Fu Long mencederakan dirinya sendiri untuk mendapatkan perhatian manusia, manakala Carla dan Mani pula sering berjalan dalam bulatan kerana dibesarkan dalam sangkar sempit.”
Papa Bear, Dr. Wong Siew Te

Komitmen Bersama yang Dipikul
Yayasan Hasanah mula menyokong BSBCC ketika penularan COVID-19, apabila perintah berkurung mengakibatkan kehilangan pendapatan yang ketara akibat ketiadaan pelawat. Dana yang disalurkan telah memastikan beruang-beruang ini terus diberi makan ketika keadaan yang mencabar itu. Usaha ini selari dengan objektif Bidang Impak Alam Sekitar Yayasan Hasanah, khususnya dalam pemuliharaan biodiversiti.
“Spesies asli seperti beruang matahari merupakan spesies utama (keystone species) dalam ekosistem Malaysia. Namun, akibat pembalakan dan penggondolan hutan yang berleluasa, mereka kini dikategorikan sebagai spesies yang terdedah (vulnerable). Ini menjejaskan rantaian biodiversiti negara kita,” kata Pengurus Advokasi Hasanah, Yeoh Zhi Lin.
Beruang matahari memainkan peranan penting dalam ekosistem hutan. Selain membantu mengawal populasi anai-anai, tabiat mereka memakan buah menjadikan mereka penyebar benih yang hebat. Cakar mereka yang tajam pula membolehkan penciptaan rongga pokok baharu, membina tempat tinggal untuk spesies lain seperti burung enggang dan tupai terbang.
Mengulas kepentingan kerjasama strategik, “Hasanah dan Kementerian Kewangan (MOF) benar-benar menyelamatkan kami semasa pandemik. Kami dapat membeli makanan, ubat-ubatan, membayar penjaga beruang dan kos penjagaan veterinar serta aktiviti rangsangan (enrichment),” imbas Dr. Wong.
Pusat ini yang telah berkembang daripada hanya dua orang staf kepada 40 orang kakitangan sepenuh masa, memerlukan sumber tenaga, masa dan dana yang besar. Lebih daripada 2,000 sukarelawan dari seluruh dunia telah membantu menjaga anak-anak beruang, membersihkan sangkar, dan menyediakan makanan. BSBCC juga bekerjasama dengan universiti dalam bidang penyelidikan, satu lagi aspek pemuliharaan beruang matahari yang masih sangat kurang diberi perhatian.
Kini, melalui dana MOF, Hasanah menaja kebajikan 42 ekor beruang matahari, termasuk makanan, peralatan perubatan dan program pelepasan semula ke habitat liar.
Satu Pengakhiran, dan Satu Permulaan
Antara komponen penting dalam proses pemulihan ialah sesi berjalan dalam hutan. Di sinilah penjaga akan memerhati sama ada beruang menunjukkan naluri survival seperti memanjat pokok atau menjauhkan diri daripada manusia. Semua ini adalah petunjuk bahawa beruang tersebut boleh dilepaskan semula ke habitat liar.
Salah satu calon yang menunjukkan potensi ini ialah Hitam, yang bakal menjadi beruang ke-13 dilepaskan oleh BSBCC setakat artikel ini ditulis.
Suasana bercampur baur, gembira dan sebak, sewaktu pasukan bersiap untuk melepaskan Hitam.
Kolar satelit akan digunakan untuk menjejak pergerakannya dan mengumpul data yang boleh membantu proses pelepasan akan datang. Walaupun hutan hujan ialah habitat semula jadinya, beruang liar yang dipulihkan masih berhadapan risiko tinggi, dan bukan semuanya yang mampu bertahan.
Beberapa minit sebelum pintu sangkar dibuka, Dr. Wong berlutut di sisi Hitam dan berkata: “Saya minta maaf kerana manusia telah melakukan perkara buruk terhadap ibu kamu. Semoga kamu gembira dan selamat di hutan, bertemu dengan beruang-beruang lain! Saya harap kamu tidak akan bertemu manusia lagi, sampai bila-bila.”
Apabila pintu sangkar dibuka, terbuka juga bab baharu dalam kehidupan Hitam. Masa depannya masih belum pasti. Namun satu perkara jelas, kelangsungan hidup beruang matahari bergantung kepada usaha kolektif negara ini; daripada pembuat dasar, penyelidik, penyelamat, penyumbang dana, sehinggalah rakyat biasa yang memilih untuk ambil peduli.
Tatkala kita bersiap sedia menpersilakan dunia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, beruang matahari bukan sekadar simbol warisan semula jadi, tetapi juga sebuah peringatan tentang seusatu yang boleh kita lindungi.

Pasar Siti Khadijah: Tradisi Bertemu Revolusi Digital

Menjulang Warisan Emas: Kebangkitan Semula Telepuk di Terengganu

Wira Kesihatan Mental di PPR Batu Muda

Wira Harian: Rakyat Malaysia yang Tampil Tika Krisis

Merungkai Tembok Tabu: Guru Pelopor Revolusi Pendidikan Seks di Kelantan

Menghidupkan Warisan Tari: Penghormatan buat Kuda Pacu

Dari Kegelapan ke Cahaya: Air Bersih dan Tenaga Solar Mengubah Kehidupan Kampung di Perak

Abbernaa: Daripada Tarian Klasik ke Penyelidikan Dasar

Jom Baca: Memulihkan Kemerosotan Pembelajaran, Menyalakan Semula Impian Anak-Anak Kita

Teman: Menawarkan Teman Penjagaan Masyarakat Menua di Malaysia

Impak Bersih Positif: Nelayan Pelindung Mamalia Laut

Vanilla Impact: Misi Uncle Alfred Menghidupkan Semula Rempah Warisan

Misi Menyelamatkan Beruang Matahari Kita