Dari Kegelapan ke Cahaya: Air Bersih dan Tenaga Solar Mengubah Kehidupan Kampung di Perak
Kampung Bongor terletak jauh di tengah-tengah Hutan Hujan Tropika Belum-Temenggor di Perak, yang berusia lebih 130 juta tahun, lebih tua daripada Amazon dan Congo. Ekosistem purba ini menyimpan khazanah flora dan fauna luar biasa, daripada rafflesia yang jarang ditemui hinggalah kesemua 10 spesies burung enggang Malaysia.

Untuk sampai ke kampung ini, pengunjung perlu menempuh dua jam perjalanan menaiki bot dari jeti Tasik Banding. Keindahan kawasan ini terletak pada kedudukannya yang terpencil, namun keunikan ini terselit cabaran yang tersendiri. Meskipun sinonim dengan kehijauan alam dan udara segar, bentuk muka bumi dengan hutan yang padat dan bergunung menyukarkan pembangunan infrastruktur asas.
Menurut Laporan Sukarela Kebangsaan 2021 (VNR 2021), secara purata, 95.9% isi rumah di negara ini mempunyai akses kepada air paip, tetapi di kawasan luar bandar, angka ini menurun kepada 84.7%, berbanding 98.7% di bandar.
Jurang antara purata kebangsaan dan realiti harian masih menjadi isu yang mendesak, termasuk di Kampung Bongor. Sehingga baru-baru ini, penduduk perlu berjalan selama sejam untuk mendapatkan air, dan kipas di rumah serta sekolah terpaksa dibiarkan tidak bergerak kerana ketiadaan elektrik.
Di bawah Pelan Hala Tuju SDG Malaysia Fasa II (2021–2025), sasaran ditetapkan untuk meningkatkan akses air dan liputan elektrik luar bandar kepada 98%. Disokong oleh Kementerian Kewangan melalui Geran Khas Hasanah, satu projek Sustainable Electric & Clean Water to Orang Asli in Kampung Bongor, Sg Kejar, Royal Belum, Perak yang dilaksanakan oleh Malaysia Relief Agency (MRA) telah menjadi pemangkin kepada aspirasi ini, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan) dan SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi).
Bersama Membangun
Projek ini bukan sekadar membawa sesuatu yang baharu ke Kampung Bongor, ia memperkukuh semangat komuniti yang sememangnya sudah lama wujud.
Salah seorang penduduk, Kumar, 46 tahun, mengimbas kembali zaman mengangkut air dalam buluh dan terpaksa berulang-alik beberapa kali untuk memenuhi keperluan asas keluarga. Kini, 22 rumah dan dua blok sekolah di SK Sungai Tiang sudah mempunyai akses kepada air bersih.
Kumar merupakan antara penduduk kampung yang bersama kontraktor membina sistem tadahan air di bawah projek ini. Menurut Muslim Johari, Pengurus Projek dan Eksekutif Operasi MRA, mereka terpaksa berjalan kaki selama tiga jam meredah hutan sambil memikul peralatan dan bahan binaan ke tapak projek. Kemudian, proses pembinaan mengambil masa dua minggu bagi menyiapkan struktur konkrit sebelum pemasangan paip dilakukan ke setiap rumah.
“Saya datang setiap bulan untuk memastikan sistem ini berfungsi dengan baik. Jika ada kerosakan, saya akan bekerjasama dengan 14 penduduk yang turut sama membantu semasa pembinaan,” katanya.
Impak daripada projek ini melangkaui aspek kemudahan. MRA berharap dapat melihat peningkatan tahap kebersihan dan kesihatan secara keseluruhan. Menurut Roz Haniza Zainal Abidin dari Hasanah, akses baharu ini telah mengurangkan kes penyakit bawaan air dan masalah kulit dalam kalangan kanak-kanak.


Saya datang setiap bulan untuk memastikan sistem ini berfungsi dengan baik. Jika ada kerosakan, saya akan bekerjasama dengan 14 penduduk yang turut sama membantu semasa pembinaan.”
Muslim Johari, Pengurus Projek dan Eksekutif Operasi MRA

Tenaga Solar untuk Masa Depan
Untuk membawa tenaga elektrik yang stabil ke Kampung Bongor, MRA bekerjasama dengan UniKL bagi memasang sistem tenaga solar yang direka khusus mengikut keperluan kampung ini. Penyelidik UniKL dalam bidang tenaga suria, Mohd Akram bin Dandu, menjelaskan bahawa panel solar yang dipasang menggunakan teknologi AC-coupled solar system dengan bateri Lithium-ion. Pilihan ini lebih lestari, menawarkan lebih 6,500 kitaran pengecasan berbanding hanya 400 kitaran bagi bateri plumbum asid konvensional. Ini bermakna bekalan kuasa lebih tahan lama, melebihi 15 tahun, dengan keperluan penyelenggaraan yang minimum.
Muslim dan Mohd Akram menyatakan bahawa kehadiran pelajar ke sekolah meningkat sejak projek ini dilaksanakan.
“Dengan adanya elektrik dan sambungan internet, guru juga dapat menggunakan media digital seperti komputer riba dan televisyen untuk sesi pembelajaran,” kata Muslim, manakala Roz Haniza menambah bahawa, “Elektrik membolehkan suasana pembelajaran lebih selesa dan kondusif.”

Digerakkan oleh Komuniti
Kini, dengan sistem air bersih dan tenaga elektrik yang telah siap dibangunkan, penduduk Kampung Bongor memainkan peranan penting dalam memastikan sistem ini terus berfungsi. Sejak awal, projek ini menekankan pemindahan pengetahuan secara langsung dengan melatih penduduk kampung melakukan penyelenggaraan mingguan dan pembaikan kecil seperti menyambung semula paip polietilena. Matlamatnya ialah memastikan infrastriuktur ini kekal untuk jangka masa panjang sambil memupuk semangat pemilikan dalam komuniti.
Dalam majlis penutupan projek ini, Pemegang Amanah merangkap Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Puan Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, “sokongan daripada penduduk kampung dalam melaksanakan projek ini, sejak peringkat pembinaan hinggalah penyelenggaraan, adalah amat dihargai,” sambil menyatakan harapan agar semangat kerjasama dan kebersamaan terus subur dalam komuniti ini.
Dengan menggabungkan penyelesaian praktikal dan penglibatan komuniti, Kampung Bongor menjadi bukti pembangunan yang dilaksanakan secara betul, berpaksikan keperluan dan dibina atas rasa hormat. Kini, perubahan mula berlaku, menyaksikan seorang murid membuka kipas kelas, seisi keluarga memulas paip di halaman rumah, dan akhirnya sebuah kampung yang membentuk masa depannya sendiri, bermula dari rimba yang mereka kenal sejak sekian lama, namun kini dengan haluan baharu tersendiri.”

Pasar Siti Khadijah: Tradisi Bertemu Revolusi Digital

Menjulang Warisan Emas: Kebangkitan Semula Telepuk di Terengganu

Wira Kesihatan Mental di PPR Batu Muda

Wira Harian: Rakyat Malaysia yang Tampil Tika Krisis

Merungkai Tembok Tabu: Guru Pelopor Revolusi Pendidikan Seks di Kelantan

Menghidupkan Warisan Tari: Penghormatan buat Kuda Pacu

Dari Kegelapan ke Cahaya: Air Bersih dan Tenaga Solar Mengubah Kehidupan Kampung di Perak

Abbernaa: Daripada Tarian Klasik ke Penyelidikan Dasar

Jom Baca: Memulihkan Kemerosotan Pembelajaran, Menyalakan Semula Impian Anak-Anak Kita

Teman: Menawarkan Teman Penjagaan Masyarakat Menua di Malaysia

Impak Bersih Positif: Nelayan Pelindung Mamalia Laut

Vanilla Impact: Misi Uncle Alfred Menghidupkan Semula Rempah Warisan

Misi Menyelamatkan Beruang Matahari Kita